Wednesday, June 10, 2009

Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir


Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir (lahir 14 Januari 1948) adalah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11. Baginda merupakan satu-satunya putera daripada enam orang adik beradik kepada pasangan Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar ke-9 dan pasangan baginda, Tunku Ampuan Durah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.





Pendidikan

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah. Kemudian di Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin, Tampin dan Sekolah Menengah King George V di Seremban dan meneruskan pelajaran baginda di Aldenhem School, United Kingdom. Baginda memperolehi Ijazah Undang-undang dari Kolej Universiti Wales, Aberystwyth, Britain.





Kerjaya

Baginda menjadi ahli perniagaan serta Pengarah Bangkok Bank Berhad.





Keluarga

Tuanku Muhriz kemudiannya mengahwini Tengku Datuk Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dari Terengganu dan memperoleh tiga orang putera, Tunku Ali Redhauddin Muhriz, Tunku Zain Al-‘Abidin Muhriz, dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin.



Tunku Besar Seri Menanti

Dilantik sebagai Tunku Besar pada 1960, Tunku Muhriz dipilih oleh Majlis Undang berikutan kemangkatan ayahanda baginda. Perlembagaan Negeri Sembilan menyatakan bahawa penggantian takhta adalah mengikut anakanda lelaki, cucunda lelaki, adinda lelaki dan anak kepada adinda lelaki kepada pemerintah itu. Tunku Muhriz merupakan waris pertama selepas kemangkatan Tuanku Munawir, lalu diikuti oleh Tunku Ja'afar dan Tunku Abdullah. Walau bagaimanapun, baginda tidak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika itu tetapi ayahanda saudaranya, Tuanku Jaafar yang ketika itu seorang diplomat, telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar yang ke-10. Pemilihan ini secara tidak langsung dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman, yang meminta supaya Tuanku Muhriz tidak dipilih kerana masih terlalu muda iaitu ketika itu berusia lapan belas tahun.



Yang di-Pertuan Besar

Tuanku Muhriz akhirnya dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 29 Disember 2008 di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Istiadat pemasyhuran itu dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak mengikut Adat Perpatih yang dibawa dari Pagar Ruyung, Sumatera, Indonesia.
Pemilihan pengganti dibuat antara Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar. Tunku Naquiyuddin pernah menjadi pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.Tunku Imran dan Tunku Nadzaruddin turut dipertimbangkan sebagai calon Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.



Turut hadir ialah kesemua putera Almarhum Tuanku Ja’afar, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar; Tunku Muda Serting, Tunku Imran Tuanku Ja’afar; dan Tunku Panglima Besar, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar ,Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman; dan Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Gani. Lain-lain ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri; kerabat diraja Negeri Sembilan; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pemimpin negeri.



Istiadat pemasyhuran

Kesemua Undang Yang Empat bersidang di Dewan Keadilan dan memutuskan pemasyhuran Tuanku Muhriz sebagai pengganti Almarhum Tuanku Ja’afar .Kemudian tembakan meriam 32 das dan 21 das lagi menandakan pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru. Semua Undang Yang Empat menghadap Tuanku Muhriz dan Mubarak menyampaikan persembahan Mas Manah. Seterusnya Mufti negeri, Datuk Murtadza Sheikh Ahmad membacakan doa kesyukuran. [1]
Baginda hadir dalam Istiadat Pemakaman Diraja iaitu membawa jenazah Almarhum Tuanku Ja’afar dari Pelambar di Istana Besar Seri Menanti ke Maharaja Diraja Seri Menanti bersebelahan Masjid Tuanku Munawir diiringi 86 das tembakan meriam.









1 comment: